



Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu telah mengadakan Jamuan Hari Raya dan Program Merakyatkan Seni Budaya pada 9 hingga 10 Oktober 2009.
Majlis penyembelihan dua ekor lembu dan dua ekor kerbau telah diadakan pada petang 9 Oktober manakala pada sebelah malamnya telah diadakan persembahan wayang kulit.
Pada pagi keesokan harinya pula, majlis yang diadakan di Dataran Asrama Baru, UDM Kampus KUSZA telah dimulakan dengan acara sukaneka yang disertai oleh pelajar-pelajar UDM.
Antara acara yang dipertadingkan ialah bowling kelapa, tarik tali, lumba lari terbalik, congkak, dam haji, lari dalam guni dan galah panjang.
Majlis jamuan hari raya pula bermula pada pukul 12 tengahari yang dihadiri oleh Naib Canselor UDM, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik & Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd Afandi Muhamad, TNC Penyelidikan & Inovasi, Prof. Dr. Abdul Manaf Ali, Pendaftar, Nurul Huda Muda dan Bendahari, Baharin Salim.
Majlis jamuan itu juga telah dihadiri oleh kakitangan dan pelajar UDM.
Pada sebelah malam pula, para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan oleh kumpulan De-Mahameru, dikir barat, nyanyian dan persembahan tarian.
0 comments:
Post a Comment